Pages

07 January 2015

Metafora kehidupanku...


Namaku Toby, usiaku baru setahun jagung? aku bukanlah jagung tetapi makhluk ciptaan Allah.... mamalia yang berdarah panas iaitu Felis catus....Dapat kurasakan betapa getirnya hidupku, minggu sudah, ibuku telahpun meninggalkanku, meninggalkanku kerana memang telah zahirnya itulah yang tersurat buat diriku ini. Aku redha.....

Sebelum ini, kami berempat sering mencari makan bersama, aku dan dua lagi adikku, tetapi pada suatu hari yang agak panas itu, dua daripada adikku telahpun hilang entah kemana? mungkin juga dibawa pergi oleh manusia yang begitu tertarik dengan kecomelan mereka. Tinggallah aku bersama ibuku. Masih lagi bermain-main di memoriku, betapa besarnya Giant, kucing besar berbelang kelabu yang selalu mengangguku, tetapi begitu baik dengan ibuku, hinggalah di suatu ketika ibuku sudah tidak memperdulikanku, mungkin juga masa bercerai susu telahpun tiba.

Aku kesepian....Terpaksalah aku mencari makan sendiri, tidur sendiri tiada berteman.

Petang itu, angin bertiup tenang, Dari jauh sayup-sayup kudengar suaranya memangil-manggil diriku..

Miau...miau....mari sini...miau.......miau.....

Kulihat wanita berusia awal 30an itu bersama-sama dengan 2 orang anak kecilnya melambai-lambaikan tulang-tulang ikan kepadaku. Aku dengan segera meluru ke arah mereka, tetapi langkahku terhenti...

Giant telah dahulu sampai, menggesel-gesel manja pada wanita itu....anak-anaknya begitu teruja dengan Giant. Lantas memberikan tulang-tulang dan sisa makanan kepada Giant, ibuku tiada di sana. Aku hanya memandang dari jauh...memandang dengan lesu....bersabarlah wahai hati.

Petang yang terik, daun kering jatuh membuai, Giant telahpun pergi, aku segera menuju ke belakang rumah wanita itu, melihat kalau-kalau ada sedikit rezeki yang tersisa buatku. Ngap....syukurlah ada juga kepala ikan yang masih elok untukku. "Eh! comelnya..." tiba-tiba kurasakan tubuhku dirangkul, aku terus dipeluk, terasa hangat dan kuatnya cengkaman anak comel ini.

"Nur! lepaskan kucing tu, biarlah dia makan dulu, mari sini" kudengar suara wanita itu semula,dari wajahnya, jelas terpancar aura indah keibuan. Aku dilepaskan, Nur masuk ke dalam rumahnya kemudian datang semula dengan membawa sisa makanan lagi. "Makanlah miau" suara comelnya menerpa.

Metafora kehidupan. Semuanya ketentuan Allah yang maha kuasa, semenjak hari itu titik perjalanan hidupanku telahpun berubah. Aku bukan lagi kucing jalanan, telah ada tempatku berteduh, aku kini bertuan...dan perasaan kasih sentiasa dicurahkan buatku. Syukur kepada yang maha Esa.










2 comments:

  1. Toby tu kucing rupenye.

    ReplyDelete
  2. Salam kenal, saya blogwalking kt sini, jemput singgah ke blog saya, http://ibu2ahmad.blogspot.com. Saya follow sini n kalau sudi follow la saya balik yer...tq :)

    ReplyDelete